Wednesday, June 10, 2015

Hadirnya, Anugerah Ilahi

Rayyan Firdaus. CEO syarikat yang ternama di Bandar Johor Bahru ini, Rayyan Holdings. Anak teruna tunggal Dato’ Bahar dan Datin Rina ini mengambil tempat ayahandanya sebagai teraju syarikat setelah kedua-duanya terkorban dalam kemalangan dua tahun lalu.
Hidupnya serba mewah, tak pernah rasa susah. Rumah banglo mewah didiami seorang diri hanya bertemankan pembantu dan orang gaji. Rayyan hidup dalam arus kemodenan. Kelab malam menjadi tempat menghilangkan tekanan, teman wanita keliling pinggang, arak menjadi minuman kegemaran.
Rayyan hanya mahu bergembira dan berjaya dalam kerjaya , kerana baginya itu bahagia.
Hampir setiap malam Rayyan pulang ke rumah dalam keadaan mabuk dan pasti membawa wanita bersamanya.Bertukar-tukar gadis yang dibawa pulang. Itulah gadis zaman sekarang, tak punya rasa malu lagi. Asalkan lelaki berharta, diturutkan saja kehendaknya.
Hidup ibarat  tak bertuhan. Kemewahan dan kekayaan menutup mata hati Rayyan.
Sejak kecil, Rayyan tidak dididik dengan didikan  agama. Arwah ayahanda dan bondanya jarang sekali berada di rumah. Masing-masing sibuk dengan kerjaya. Hanya pencapaian akademik yang mereka tekankan.Perihal ibadah anaknya tak pernah dititikberatkan.
Biarpun pernah diajar oleh datuknya cara bersolat, namun tempohnya terlalu sekejap. Datuk Rayyan kembali ke rahmatullah ketika usia Rayyan baru mencecah lima tahun. Setelah itu, tiada lagi yang mengajar Rayyan bersolat.
Rayyan sama seperti anak-anak lain, dilahirkan ibarat kain putih. Namun mungkin ayahanda dan bondanya tersalah langkahdalam  mencorak Rayyan menjadikan dia sedemikian.

“Adik,bangun! Mandi cepat! Nanti lambat pergi sekolah,” dialog Amir setiap pagi, mengejutkan adik tunggal kesayangannya, Balqis. Amir dan Balqis, dua beradik yang tinggal sebatang kara. Abah dan umi sudah lama meninggalkan mereka. Kini, Amirlah yang memikul tanggungjawab memelihara Balqis yang baru berusia tujuh tahun.
C4-7, Pangsapuri Aman menjadi tempat tinggal dua beradik itu. Rumah peninggalan ayah mereka tempat Balqis dijaga oleh Amir.
Amir sangat bertanggungjawab.Dia ibarat ayah kepada Balqis. Di rumah, Amirlah tukang masak apabila Balqis lapar. Amirlah tukang jahit apabila baju Balqis koyak. Amirlah guru ketika Balqis melakukan kerja rumah. Jika Balqis sakit, Amirlah jururawat. Amirlah pemandu, membawa Balqis ke sana ke mari. Amir jugalah ustaz, mengajar Balqis solat dan mengaji..
“Qis dah siap?” “Dah,abang,”jawab Balqis bersemangat. “Jom,abang hantar pergi sekolah,”ajak Amir . Balqis mengangguk setuju.
Begitu rutin mereka setiap pagi hari bekerja. Amir akan menghantar Balqis ke sekolah sebelum dia berangkat ke kilang barangan elektronik yang berdekatan, tempatnya mengumpul rezeki. Gaji Amir tidaklah besar mana tetapi cukup untuk mereka hidup adik-beradik. Amir percaya, Ar-Razzaq takkan berhenti melimpahkan rezeki buatnya.
“Qis,nanti tunggu abang jemput,ya.Jangan pergi mana-mana. Duduk dengan cikgu sampai abang datang,”ujar Amir,tanda sayangnya pada Balqis. Risau jika apa-apa berlaku pada adiknya. Mana tidaknya, Amir menganggap Balqis sebagai satu amanah oleh arwah abah dan uminya.
Setiap petang, Amir juga yang menjemput Balqis pulang dari sekolah selepas tamat waktu kerjanya. Selepas solat Maghrib berjemaah, Amir akan mengajar adiknya mengaji.
Amir mendidik Balqis dengan cukup sempurna. Bukan sahaja memastikan adiknya cemerlang ilmu dunia tetapi celik ilmu agama.

Waktu menunjukkan 6.30 petang. Tamat waktu kerja Rayyan. “Jom, lepak tempat biasa,” ajak Aeril, teman rapat Rayyan. Pedal minyak kereta BMW milik Rayyan ditekan, meninggalkan bangunan Rayyan Holdings.
Muzik rancak dan kuat, gadis-gadis berpakaian menjolok mata menari-nari, jejaka-jejaka buaya darat sana-sini..Ini tempat Rayyan bersantai. Dikelilingi gadis-gadis tak punya maruah dan manusia yang sudah terlena dibuai nikmat dunia.
Panggilan Ilahi diendahkan, terus bersuka ria. Mungkin apabila dipanggil Ilahi buat selamanya, baru akan sedar. Ketika itu baru hendak menyesal, kenapa hidupnya dahulu tidak diisi ketaatan. Namun sesal ketika itu tiada berguna.
Jam 10 malam. Masih awal bagi Rayyan namun tubuhnya merengek mahukan tilam yang empuk, matanya berat mahu tertutup. Memenuhi kehendak tubuh yang penat seharian bekerja, dipandu kereta mewahnya menuju ke rumah tercinta.BMW dipandu laju kerana sudah mengantuk.

Amir dan Balqis pergi ke masjid hari ini kerana ada ceramah agama selepas isya’. Memandangkan esok hari cuti, maka Amir tidak keberatan untuk meluangkan waktu malam di masjid.
Setiap yang bernyawa pasti merasai mati. Tak kira tua atau muda. Mati tak pernah mengenal usia kerana syarat mati hanya satu. Bukan sakit atau tua tetapi hidup”
Bait-bait kata penceramah dihadam Amir. Tiba-tiba dia terfikir apakah nasib Balqis andai waktunya sudah hampir. Tak terbayang dek fikiran. “Balqis masih kecil, perlu ada yang menjaganya andai aku tiada,”bisik hati kecil Amir.
Setelah tamat ceramah, Amir membawa Balqis pulang. Mereka hanya berjalan kaki memandangkan masjid itu tidak jauh dari rumah mereka. Amir memimpin tangan Balqis.
“Qis,kalau abang dah pergi nanti Qis jangan lupa solat, puasa dan mengaji. Amalkan semua yang abang ajar, boleh?” Amir hairan bagaimana lisannya boleh bertutur begitu. Hasil ceramah tadi mungkin.
“Abang nak pergi mana?” tanya Balqis,aneh. “Tiada apa-apalah sayang,” Amir cuba mengubah topik. Tak mahu adiknya terlalu berfikir.
“Abang, cakaplah kenapa,”ujar Balqis tidak berpuas hati dengan jawapan abangnya. Amir tidak menjawab. Pergaduhan kecil itu berterusan sehinggalah ketika mereka hendak melintas jalan. Tanpa disedari, sebuah BMW tiba-tiba memecut keluar dari simpang.
“Abang,kereta!”jerit Balqis cemas. “Mana?” Amir menoleh. “Itu!” “Aaaaaahhh!”

Rayyan cemas. Terketar-ketar tangannya menghubungi ambulan. Tidak pernah dia tergamak hendak membunuh orang.
Setelah mendapat kebenaran doktor, Rayyan masuk ke wad 5A yang menempatkan seorang pemuda berusia awal 20-an. Pesakit koma. Rayyan duduk di atas kerusi, benar-benar di tepi pesakit. “Maafkan, aku. Aku tak berniat nak langgar kau dan adik kau,” Rayyan berharap pesakit itu dapat mendengarnya.

            “Amir, dengar apa yang umi nak cakap ni. Amir dah banyak tolong umi. Amir yang jaga Balqis dari kecil. Umi tahu, Amir dah penat, kan? Tak mengapa, tak lama lagi Amir boleh jumpa umi. Jangan risau tentang Balqis. Umi tahu siapa yang boleh jaga dia.” “Siapa umi?” “Rayyan Firdaus.”
Amir bingung. Kepalanya terasa sakit. Perlahan-lahan dia membuka matanya. Dia ternampak seorang lelaki duduk di sebelahnya. “Abang siapa?”.Pertanyaan Amir mengejutkan Rayyan. “Aku Rayyan, Rayyan Firdaus, “jawab Rayyan ringkas.“Lelaki ni ke yang umi maksudkan dalam mimpi aku tadi? Lelaki yang boleh mengganti tempat aku menjaga Balqis,” hati Amir berbicara sendiri.
 “Mana adik saya?” tanya Amir kepada Rayyan. “Adik kau belum sedar lagi. Aku minta maaf. Aku tak sengaja langgar kau dan adik kau. Bil hospital kau dan adik kau biar aku yang lunaskan,” Rayyan dikelubungi rasa serba salah. “Tak apa,abang. Cuma saya ada satu permintaan,” bicara Amir lembut. ”Kalau saya mati, abang jaga Balqis baik-baik. Kalau benar abang rasa serba salah, saya harap abang boleh tolong saya.” Rayyan diam seribu bahasa. Lidahnya kelu. Aneh, orang yang melanggarnya diminta menjaga adiknya. “Boleh ke?” Amir mahukan kepastian. Kerana tidak mahu mengguriskan hati pesakit, Rayyan mengangguk. “Abang tolong juga rakamkan pesanan saya untuk Balqis. Apabila dia dah sedar nanti, tunjukkan pada dia.” Dituruti permintaaan anak muda itu. “Terima kasih, bang.” Usai pesanannya dirakam, Amir menghembuskan nafas terakhirnya.
Fikiran Rayyan kosong. Dia terus menuju ke wad budak perempuan yang dilanggarnya tadi. Entah mengapa, hatinya terasa sesuatu apabila melihat anak itu. Hatinya tekad ingin menjaga anak itu. Setiap hari dia akan melawat anak itu dengan membawa kuntuman bunga segar untuk menghiasi wad. Tiga hari berlalu, anak itu masih koma. Sepanjang itu juga, Rayyan tidur di hospital kerana mahu menunggu anak itu sedar. Ahli keluarganya tak pernah seorang pun menziarahi.
“Pakcik,bangun,”suara anak kecil itu mengejutkan Rayyan yang sedang lena. Selepas tiga hari, anak itu sedar dari koma.  “Pakcik, mana abang Amir?” Pertanyaan itu tidak dijawab. Rayyan hanya mengeluarkan Iphonenya dan menunjukkan rakaman kepada anak itu.
“Assalamualaikum,Qis. Qis, selepas ini tinggal dengan Pakcik Rayyan,ya? Abang sudah tidak boleh jaga Qis. Abang kena pergi. Ingat semua pesan abang pada Qis. Abang sayang Qis.”
Balqis tahu, kini abangnya sudah tiada. Balqis tidak menangis kerana dia tahu, Allah lebih menyayangi abangnya.
”Adik tak ada mak dan ayah?” tanya Rayyan. “Umi dan abah dah lama meninggal. Sebab tu Qis tinggal dengan Abang Amir. Dia yang jaga Qis,” Balqis menjawab. Jawapan Balqis menyentuh hati kecil Rayyan. Dia tidak pernah mempunyai perasaan sebegitu. Rasa kasihan dan sayang tiba-tiba muncul dalam sanubari Rayyan.  “Pakcik boleh jaga Qis?” soal Balqis. Tiada jawapan, hanya anggukan kecil sebagai isyarat.
           
Apabila Balqis dibenarkan keluar, Rayyan membawanya pulang ke banglo mewahnya. “Besarnya rumah pakcik!” Rayyan hanya tersenyum melihat telatah Balqis. Balqis terpegun melihat rumah Rayyan. Ibarat istana baginya. Besar sekali.
“Pakcik tinggal seorang,kah?” Balqis menyoal. “Ya,”ringkas Rayyan. “Kalau begitu, Qis tak mahu tinggal dengan pakcik.” “Kenapa?” Rayyan bingung. “Abang Amir kata, lelaki dan perempuan yang bukan mahram tak boleh duduk berdua-duaan, dosa,” panjang celoteh Balqis. Rayyan hanya tersenyum sambil menunjuk kepada seorang wanita berbaju kurung kuning muda yang agak tua “Mak Esah ada”. “Kalau begitu, boleh.” Balas Balqis lega.
Rayyan mengganti tugas Amir menjaga Balqis. Balqis dilayan seperti anaknya sendiri. Mahu apa saja, Rayyan akan berikan tetapi Balqis tidak biasa meminta. Baginya, apa yang dia ada itu sudah cukup. Pemandu Rayyan, Pak Abu yang menghantar dan mengambil Balqis dari sekolah. Mak Esah ditugaskan untuk menjaga Balqis ketika ketiadaan Rayyan.
Hidup Rayyan sedikit berubah sejak kehadiran Balqis. Setiap malam, dia tidak lagi berkunjung ke kelab malam selepas waktu bekerja tetapi dia terus pulang ke rumah untuk berjumpa dengan Balqis. Rindu kalau sehari tidak berjumpa. Rayyan kadangkala berasa aneh dengan dirinya. Bagaimana seorang CEO berjiwa muda sanggup menjaga seorang anak kecil tak ubah sepertii seorang bapa. Anak yang tak pernah dia kenal. Berjumpa atas dasar kebetulan. Seringkali Rayyyan berfikir sama ada apa yang dilakukannya itu merupakan perkara yang tepat atau sebaliknya. Sehingga kini, dia tidak menemui jawapan. Apa yang Rayyan pasti, anak itu buat dia rasa gembira dan bahagia.
            Hujung minggu Rayyan dihabiskan di rumahnya sahaja. Dia suka meluangkan masa bersama Balqis. Tidak ada aktiviti khusus yang dibuat, Cuma Rayyan suka melihat Balqis bermain.
Jam menunjukkan 1.30 petang. “Pak cik Rayyan, jom solat Zohor!” ajak Balqis,mesra. “Balqis tak pernah solat dengan pakcik. Dulu, Abang Amir selalu jadi imam Balqis. Boleh tak kita solat berjemaah? Pakcik jadi imam. Balqis rindu nak solat berjemaah,” pinta Balqis. “Aa, aa, Balqis solat sendiri ya. Lain kali kita berjemaah.” Tergagap-gagap Rayyan menjawab permintaan Balqis. Jantungnya bagai nak gugur. Masakan tidak, orang yang sudah 20 tahun lebih mukanya tak diwudhu’, 20 tahun lebih juga dahinya tak menyentuh tikar sejadah, zikir juga sudah lama hilang dari lidah disuruh menjadi imam. Walaupun hanya bermakmumkan  kanak-kanak, dia malu kerana sebahagian pergerakan dan bacaan juga telah hilang dari ingatan.
Rayyan masuk ke kamarnya. Fikirannya menerawang. MIndanya terbayang-bayang. Di telinga terngiang-ngiang ayat Balqis sebentar tadi. Ia bagai teguran terus daripada Sang Pencipta. Rayyan seperti dikejutkan daripada satu tidur yang panjang. Koreksi diri berlaku secara automatic pada diri  Rayyan. Dia sedar, dia perlu berubah. Dia kini merasakan kekayaan dan kemewahan yang dia miliki merupakan istidraj dari Allah.
Selepas makan tengah hari, Rayyan duduk di sofa menemani Balqis menonton televisyen. “Balqis, pakcik ada sesuatu nak cakap,” Rayyan bersuara. “Apa dia?” Balqis melayan. “Sebenarnya, pakcik dah lama tak menunaikan solat, puasa membaca al-Quran pun pakcik dah lupa,” kata Rayyan dengan penuh rendah diri. Malu dengan anak kecil yang tidak pernah meninggalkan solat, pandai pula membaca Al-Quran. “Pakcik Rayyan nak Balqis ajarkan?” soal Balqis dengan santun. “Boleh?” Rayyan menebalkan muka. “Boleh saja.” Jawapan Balqis menghiburkan hati Rayyan. “Tetapi pakcik malu,” Rayyan menzahirkan perasaannya ketika itu. “Pakcik tak perlu malu. Kalau pakcik tak tahu, Balqis ajarkan. Kalau pakcik tersilap, Balqis tak akan ketawakan sebab Abang Amir selalu pesan: “Kalau  ada orang nak buat baik, kita kena tolong dia bukan ejek dan sisihkan dia.” Balqis tak pernah lupa pada pesan abangnya. Semuanya dia semat sebagai pedoman dalam menjalani hidup di dunia yang penuh pancaroba ini.
Balqis mengajar Rayyan berwudhu’ dan bersolat. Selepas solat, Balqis mengajar Rayyan membaca al-Quran pula. Walaupun bacaan Rayyan merangkak seperti anak kecil yang baru belajar, Balqis setia mengajar
Rayyan amat bersyukur. Allah menghantar seorang kanak-kanak untuk mengejutkannya dari tidur yang lena. Anak yang menarik tangannya keluar dari lembah kehinaan dan kealpaan serta membawanya kembali ke jalan Ilahi. Pertemuannya dengan Balqis ternyata bukan sekadar satu kebetulan tetapi terselit jutaan hikmah buat Rayyan. Balqis benar-benar mengubah hidup Rayyan.

            20 tahun berlalu. Balqis kini bertugas sebagai penceramah agama selepas menjadi graduan dalam bidang Syariah Islamiah dari Universiti Mu’tah, Jordan. Perjalanan hidupnya dilakarkan dalam bentuk tulisan dan dikongsi dengan masyarakat. Kini, dia tinggal bersama suami dan anak yang tercinta.
Rayyan Firdaus masih CEO Rayyan Holdings tetapi dengan perwatakan yang baru. Jika 20 tahun lalu motif hidupnya hanya untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya dan bersuka ria, kini tujuan hidupnya menggapai redha Yang Esa. Jika dahulu kelab malam tempat bersantai, kini masjid dan surau menjadi destinasi wajib setiap hari. Hujung minggu di pusat-pusat kebajikan. Hidup Rayyan dipenuhi amalan-amalan baik sebagai bekalan demi kesenangan di negeri akhirat. Jika dulu, solat pun tidak dikuasai, sekarang sudah menjadi imam di dalam masjid yang dbinanya sendiri. Rayyan telah bernikah dengan wanita yang solehah serta dikurniakan dua orang cahaya mata sebagai hadiah dan amanah daripada Allah. Rayyan merasai kebahagiaan sebenar yang selama ini dia tidak punya..
____________________________________
Dulu ku sangka
Harta yang bawa bahagia
Sampaikan aku alpa
Menjauhi Yang Memberi Kurnia
Hingga hadir seorang insan
Anugerah dari Dia
Membuat aku sedar
Dari terus terlena

Rayyan Firdaus.
_____________________________________